Monday, November 16, 2009

Pusaka Imam AlBanna:Jalan kemenangan – IBADAH sebelum QIADAH


Jalan kemenangan – IBADAH sebelum QIADAH

Saya telah bertemu dengan seorang tua yang telah melepasi perjalanan usia yang sudah lama dan telah menghampiri garisan akhirat. Seluruh kepalanya telah diselaputi rambut yang memutih, garis-garis penuaan meniti wajahnya yang bersih. Saya duduk di sisinya di waktu siang hari, di kala cahaya matahari menyinari bumi. Saya melihat wajahnya berseri-seri disinari cahaya taqwa, pantulan nur dari hati yang sentiasa berhubungan dengan Allah ‘Azza wa Jalla. Dia tidak dikenali di kalangan masyarakat, namanyapun tiada siapa yang ingat.

Setelah mendengar cerita saya, dia bertanya, apakah nama persatuan kamu? Saya menjawab, kami bukan persatuan, tetapi kami adalah ikhwan fillah (saudara-saudara di jalan Allah) sahaja. Kami berhimpun di atas landasan aqidah dan fikrah. Kami cuba laksanakan pada diri kami, kemudian cuba memahamkannya kepada manusia. Fikrah kami tidak lain kecuali memahami Islam, beramal dengannya dan mengajak orang lain bersama-sama kami dalam memahami dan melaksanakan Islam. Cantik!, komennya. Siapa yang mengajar kamu di rumah (tempat kamu berkumpul)? Tanyanya lagi. Saya menjawab, dalam banyak keadaan, sayalah yang berbicara kepada saudara-saudara saya. Seketika dia terdiam. Kemudian dia mengangkat pandangannya tepat ke wajah saya seraya bertanya, adakah kamu bangun malam? Saya menjawab, apa tujuan tuan bertanyakan hal ini? Jiwa-jiwa kami berada di dalam genggaman Allah. Jika Dia kehendaki, Dia akan membangunkannya. Dan jika Dia kehendaki, Dia akan menahannya. Dia mendengus: benarlah kata-kata Allah dan rasulNya: “…. dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.” (Maksud al-Kahf:54)

Dengan tenang dan teratur dia berbicara,

Ya Akhi:

Sesungguhnya mentarbiah ruh-ruh, mentazkiah jiwa-jiwa dan memimpin hati-hati tidak terjadi dengan perkataan yang diulang-ulang, dengan kaedah-kaedah yang diajar, dengan teori-teori yang dikemukakan. Semua ini mungkin berkesan kepada akal dan ilmu, tetapi ia tidak berbekas pada jiwa, tidak menyentuh perasaan dan tidak dapat membentuk akhlak. Sesungguhnya perkara utama yang diperlukan oleh jamaah adalah ruh-ruh dan akhlak ahli-ahlinya. Sesungguhnya mereka yang cuba mengislahkan akhlak dengan menulis buku-buku sahaja sebenarnya tertipu dan menipu. Kalau sekiranya inilah juga cara kamu maka alangkah jauhnya kamu daripada mencapai apa yang kamu mahu.

Ya Akhi:

Islahun-nafs yang kamu cari tidak ada jalan ke arahnya kecuali satu sahaja, iaitu jalan qudwah hasanah yang bersambung dengan Allah, yang mendapat bekalan langsung daripada limpah kurnia-Nya. Qudwah hasanah itu tidak lain daripada bangun malam, qiam dan bermunajat di kala gelita. Tidakkah kamu membaca al-Quran dan mendengar firman Tuhan yang bermaksud: “Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), Iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil". (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya. (Al-Muzzammil: 1-6)

Ya Akhi:

Orang yang tidak mempunyai sesuatu tidak akan dapat memberikannya. Hati yang terputus hubungannya dengan Allah, bagaimana mampu memimpin manusia ke arah-Nya. Peniaga yang tidak punya modal, dari mana keuntungan hendak diraih? Guru yang tidak mengetahui manhajnya, apa cara dia akan mengajar muridnya? Orang yang tidak mampu memimpin dirinya, bagaimana dia akan memimpin orang lain? Maka tahukah kamu betapa berhajatnya kamu kepada jihad jenis ini? Sekiranya kamu dapat membawa orang-orang yang berjanji dengan kamu untuk beramal melakukan perkara ini, maka itulah sebenarnya kejayaan. Tiada lagi kejayaan selain itu. Sesungguhnya sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w. adalah rahib-rahib di waktu malam dan penunggang kuda di waktu siang. Adakah kamu lihat mereka hanya memiliki salah satu daripada sifat itu sahaja?


Ya Akhi:

Berusahalah sedaya mampu untuk menggali perbendaharaan Ilahi di waktu malam supaya dapat kamu agihkan kepada saudara-saudaramu di waktu siang.


Kemudian orang tua itu meminta izin untuk beredar. Dia bangkit dan berjalan dengan tongkatnya meredah kesesekan manusia di jalan raya, sedang saya mengiringi pemergiannya dengan hati yang penuh insaf sehingga dia hilang dari pandangan.



Ya Ikhwan:



Mungkin kamu berasa hairan mengapa saya bawakan bicara sebegini di dada akhbar kamu ini sedang kamu menanti-nanti saya berbicara mengenai masalah yang melanda dunia, derita yang dialami oleh umat Islam seluruhnya. Kamu mengharapkan saya menyatakan sikap, pendirian dan tindakan yang patut diambil oleh jamaah kita.



Dengarkanlah penjelasanku:



Sesungguhnya kamu ingin mencapai matlamat yang besar hebat. Oleh itu kamu mesti memahami dengan sebenar-benarnya bahawa dengan matlamat itu bererti kamu berada di atas satu garisan dan dunia seluruhnya berada di atas garisan yang berlawanan dengan kamu.

Kamu menghendaki Islam berkuasa. Dunia diperintah oleh jiwa-jiwa yang bersih suci, akhlak mulia yang melimpah dengan kebaikan, hati-hati yang penuh rahmat dan kasih sayang dan kesejahteraan memayungi alam semesta.



Manusia pula menghendaki kebendaan berkuasa, harta melimpah ruah, kemewahan tiada sempadan, perebutan yang tiada berkesudahan antara golongan kuat dan lemah. Yang kuat memangsakan yang lemah. Yang berkuasa sentiasa menang dan yang diperintah sentiasa kalah. Kemanusiaan tidak akan kenal erti keadilan, tidak akan mengecapi rahmat kasih dan sayang. Itulah yang manusia kehendaki berbanding dengan apa yang kamu kehendaki. Kamu berada di satu pihak, sedang dunia di satu pihak yang lain. Manusia berselindung di sebalik kedustaan, berinteraksi dengan tipu helah dan bermuka-muka. Mereka lari daripada menghadapi kenyataan. Pada hal kamu tidak mahu itu semua kerana kamu sentiasa bermuraqabah. Diri kamu dan amalan kamu sentiasa diperhati oleh yang Maya Mengetahui dan Maha Memerhati. Maka perbezaan antara kamu dengan manusia, jika kamu benar dengan apa yang kamu cita-citakan, sangat jauh dari segala sudut.



Bilangan kamu adalah sedikit. Keadaan kamu tertindas di muka bumi ini, fakir dari segi harta, kosong dari segi kekuatan. Maka tidak ada senjata kamu selain hubungan dengan Allah dan mengharap pertulungan dan bantuan daripadaNya serta keimanan yang mendalam terhadapNya. Apabila aspek ini kamu kuasai bererti kamu telah kuasai segala-galanya. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu dan jika Dia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.” (Aali Imran:160)



Maka berusahalah untuk menjadi seperti itu. Jangan kamu Tanya bagaiman? Sesungguhnya jalannya telah nyata. Jadilah kamu hamba-hamba sebelum kamu menjadi ketua. Dengan ibadah kamu akan jadi sebaik-baik qiadah. Awas! Jangan kamu terbalikkan isu ini sebagaimana yang dilakukan oleh manusia lain. Mereka mengejar kepimpinan sebelum mereka mensejahterakan aspek ibadah maka mereka tewas atau mereka berjaya mencapainya tetapi terumbang ambing di dalam melaksankan amanahnya. Serapkan ke dalam diri kamu maksud Hadis Qudsi ini: ”Sesiapa yang menyakiti wali-Ku maka sesungguhnya Aku telah mengisytiharkan perang dengannya. Seseorang hamba-Ku tidak menghampirkan diri kepada-Ku dengan sesuatu sebagaimana ia menghampirkan diri dengan melakukan apa yang Aku fardhukan ke atasnya. Dan sentiasalah hamba-Ku itu menghampirkan dirinya kepada-Ku dengan melakukan amalan-amalan yang sunat sehingga Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya maka Aku adalah pendengaran yang dia mendengar dengannya, penglihatan yang dia melihat dengannya, tangan yang dia menghulur dengannya, kaki yang dia berjalan dengannya. Jika dia meminta pada-Ku akan Ku berikannya, jika dia memohon perlindungan dengan-Ku akan Ku lindunginya”. (Al-Bukhari)

Dan ingat juga firman Allah yang bermaksud: “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (An-Nur:55)



Daripada Pusaka al-Banna, dipetik dari surat khabar Ikhwan Muslimin, 25 R.Awwal 1356H bersamaan 4 July 1937M.

http://fikrah-dakwah.blogspot.com/

Saturday, November 14, 2009

dan MASA itu terus berlalu.........

“Demi masa, sesungguhnya manusia (dalam) kerugian. Melainkan yang beriman dan yang bermal soleh. Dan yang berpesan pada kebenaran. Jua berpesan pada kesabaran” (Al-asr: 1-5)

Akhi…

Sering kali kita terlupa perkara-perkara kecil bilamana sibuk menanggung perkara-perkara besar(pada kaca mata kita) yag kita perjuangkan……. MASA…… Tidak perlulah dihuraikan secara menyeluruh dan terperinci. Cukuplah ayat Quran diatas mengungkap segala-galanya. Taujih dan Muwasofat berkaitan indhibat dan jiddiyyah yang diberi hanya seperti angin lalu………….

Sepatutnya sebagai ummah yang mengimani tanggungjawab sebagai Muslim, soal ini sepatutnya selesai dalam point : Haarisun A’la waqtihi …….. Dan kita yang sepatutnya menjadi contoh kepada orang lain sering terlajak waktu melebihi masa yang diberikan. Ini tidak, dalam isu Lewat, kita lah juara….. Tidak kira lah hadir ke kuliyah, program-program, hatta usrah sekalipun……. Sedih,tapi inilah hakikat…..

Akhi,

Integriti melambangkan kredibliti….

Jika kita kurang berintegriti dengan masa, bagaimana mungkin untuk memberi contoh melalui kredibliti? Namun masih ramai ummah di luar sana memandang remeh hal ini…..


...............Ikhwah, bagaimanakah kita??..............

Baitul Muslim :dari kaca mata diri ini……..



“Mengapa sekarang?”

“Bukankah terlalu muda?”

“ Belum habis belajar?”

“ Sudah ada pendapatan sendiri?”

“ Kerja apa sekarang?”

“Berapa pendapatan bulanan?”……………

ini adalah dialog persoalan dan provokasi biasa yang diri alami… sebenarnya persoalan-persoalan ini sepatutnya tidak menjadi persoalan bagi mereka-mereka yang memahami konsep Baitul Muslim yang diamanahkan oleh RasuluLlah s.a.w kepada ummatnya.. apa yang perlu kita fahami adalah kesediaan dalam memikul tanggungjawab membina sebuah institusi kekeluargaan Islam…. Kerana tanggungjawab inilah yang akan dipersoal oleh ALLAH s.w.t di akhirat kelak dan bukanlah perkara lain…

kenapa rasulullah menikahi saidatina Aisyah? Kenapa saidina Ali menikahi Fatimah? Mengapa Ummu sulaim menerima pinangan Abu Talhah…, Mengapa Jabir menikahi wanita janda, bukan gadis?.... Persoalan ini meletakkan orientasi dakwah pada jawapannya…… maksudnya…. sebagai seorang muslim yang memahami Islam itu sepatutnya tidak timbul persoalan bilakah mahu menikah, tetapi MENGAPAkah anda menikah… dan kita sepatutnya meletakkan menikah itu atas dasar IMAN dan ISLAM yang kita bawa dan imani.... atas dasar DAKWAH dan TARBIYYAH….. sedihnya ramai yang mengatakan secara langsung atau tidak bahawa perkahwinan itu atas dasar cinta dan nafsu semata yang pada akhirnya tidak membawa kepada RABBI kerna berorientasi NAFSI….. ingatlah bahawa pernikahan itu suatu ibadah yang sepatutnya berlandaskan Jalan Ar-Rasul yang menuju kepada RABB agar kita bertaqwa…

Dan bahawa (yang Kami perintahkan ) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah dia,dan janganlah kamu megikuti jalan-jalan ( yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadaMu agar kamu bertaqwa(AL-AN’AM:153)

-----------------------------------------------------------------------------------

“saya belum ada pekerjaan tetap, saya belum ada gaji yang cukup, saya belum ada simpanan yang cukup, sedangkn makan saya pun tidak cukup lagi, ekonomi tidak menginzinkan….”

Itu hanyalah sejumlah alasan yang banyaknya menghalang ikatan pernikahan yang suci ini kerana ramai ahli masyarakat kita meletakkan kayu ukur sesebuah kehidupan dengan harta. Gagal atau Berjaya dalam hidup adalah dengan banyaknya harta yang dikumpul.Sering kali apabila datang calon melamar anak perempuan mereka soalan2 ini ditanyakan : Apakah kerjanya(orang yg melamar), berapa gaginya sebulan, bagaimana hendak diberi nafkah pada keluarganya……

tentunya soalan diatas tidak salah kerana sememangnya wang dan harta itu perlu untuk hidup, tetapi yang menjadi salahnya adalah hanya kerana pekerjaan (yang diarasakan gajinya sedikit) dan kurang berharta menjadikan proses pernikahan itu terhalang… Obses pada harta dan material semata-mata…. Maka jadilah harta dan wang itu sebagai BERHALA……. Diikrar dalam hati, dinyatakan dalam lisan, dan diamal dengan perbuatan : HARTA lah segalanya…….

Dan Nikahkanlah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang2 yang layak menikah di antarahanba-hamba sahayamu yang perempuan.Jika mereka miskin, Allah akan memampukan mereka dengan kurniaNya, dan Allah Maha Luas PemberianNya lagi maha mengetahui (An-Nur : 32)

Buangkanlah Berhala materialisma itu dari hati dan fikiran kita. Jangan meyakininya sebagai penentu kebaikan dan keburukan, senang atau sengsaranya hidup. Harta itu hanyalah perhiasan dunia, pemberian Allah kepada hambaNya… selagi kita berusaha, Allah pasti tidak akan mensia-siakan usaha hambaNya………

Thursday, November 05, 2009

Duhai Anak......berbuat baiklah pada kedua ibu-bapamu ( Al-Isra 23-24)






Assalamualaikum wrt. wbt.

Mutaakhir ini timbul beberapa kekeliruan terhadap perkara yang dulunya mudah, tetapi kini menjadi sukar difahami. Bukan kerana hakikat itu telah berubah, namun ia diolah oleh mereka yang berkepentingan. Disebabkan terdesak untuk memahamkan orang tentang kaitan peristiwa atau isu yang telah berlaku, maka hakikat tersebut terpaksalah diterangkan dan diolah selari dengan kepentingan berkenaan. Jangan tertipu dengan apa yang diperkatakan, mari kita kembali kepada nas asal yang memperkatakan tentang itu.


Apa makna IHSAN kepada ibubapa?

1. Merujuk kepada ayat 23-24 dari Surah al-Isra' Allah telah berfirman yang bermaksud:

"Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik (ihsan) kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka jangan sekali-kali kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan "ah"** dan janganlah kamu membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah.."Wahai Tuhanku! Kasihanilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecilku."

**
mengucapkan kata "ah" kepada orang tua tidak dibolehkan, apalagi mengucapkan kata-kata atau memperlakukan mereka dengan lebih kasar daripada itu.

Di dalam ayat di atas ada 10 permasalahan:

1. Qadho - ialah suruhan wajib untuk menyembah Allah swt iaitu Allah Ta'ala telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selainNya.

2. Allah swt memerintahkan agar manusia menyembahNya dan mentauhidkanNya disertakan dengan berbuat ihsan kepada kedua ibubapa, sama seperti bersyukur kepada Allah swt. disertakan dengan berterimakasih kepada kedua ibubapa. Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abdullah ra, katanya: "Aku bertanya Nabi saw apakah amal yang paling disukai oleh Allah?" Nabi menjawab: "Solat dalam waktunya." Aku bertanya lagi kemudian apa lagi?". Nabi saw menjawab: "Kemudian berlaku ihsan kepada kedua ibubapa." Aku bertanya lagi kemudian apa lagi?" Nabi saw menjawab: "Berjihad fi sabilillah."

Lihatlah betapa pentingnya ihsan kepada kedua ibubapa sehingga Nabi saw menjadikan 'birrul walidaini' -berbuat baik kepada ibubapa- seafdhal2 amal selepas solat yang merupakan tiang agama yang terpenting.

3. Di antara makna 'birrul walidaini' dan 'ihsan' kepada kedua ibubapa ialah bahawa jangan seseorang itu menderhaka kepada kedua2nya kerana ia termasuk daripada dosa-dosa besar (kabaair) tanpa khilaf. Perkara ini ditegaskan oleh sunnah thabitah. Di dalam sahih Muslim daripada Abdullah ibn Amru bahawa Rasulullah saw telah bersabda: "Sesungguhnya dikira daripada kabaair itu berkata kesat (memaki) seorang lelaki terhadap kedua ibubapanya. Sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah saw adakah orang yang akan berbuat demikian kepada ibubapanya?" Rasulullah saw menjawab: "Ya, boleh berlaku bila seorang lelaki mengeluarkan kata-kata kesat kepada bapa orang lain, lalu orang tadi membalas dengan memaki ibu dan bapanya."

4. Termasuk derhaka kepada ibubapa ialah menyalahi kehendak kedua-duanya dalam perkara yang diharuskan oleh syara', sama halnya 'birrul walidaini' bermakna membuat sesuatu yang disukai oleh kedua-duanya. Berdasarkan kenyataan di atas apabila kedua-dua ibubapa menyuruh sesuatu perkara kepada anaknya, maka menjadi kewajipan ke atas anak itu mentaatinya selagimana suruhan itu dalam perkara yang bukan maksiat.

5. Imam Tarmizi meriwayatkan daripada ibnu Umar ra katanya: "Saya ada seorang isteri yang saya amat kasih, tetapi ayah saya membencinya dan menyuruh aku menceraikannya, lalu aku enggan. Aku mengadu kepada Rasulullah saw, lalu baginda saw bersabda: " Wahai Abdullah ibnu Umar! Ceraikan isterimu itu." (Hadith Hasan lagi Sahih).

6. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra katanya: "Seorang lelaki datang kepada Nabi saw lalu berkata: "Siapa yang paling berhak untuk aku melakukan ihsan dalam persahabatan dengannya?" Nabi saw menjawab: "Ibu kamu." Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: "Ibu kamu." Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: "Ibu kamu." Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: "Bapa kamu."

Dalam hadith ini menunjukkan kasih kepada ibu 3 kali ganda melebihi kasih kepada bapa kerana Nabi saw menjawab tiga kali ibu dan bapa disebut yang keempat.

7. Tidak dikhususkan 'birrul walidaini' hanya kepada ibubapa yang muslim sahaja, bahkan wajib berbuat baik kepada kedua-duanya sekalipun mereka kafir.

8. Termasuk yang dimaksudkan 'ihsan' kepada kedua-dua ibubapa ialah apabila tidak sampai ke tahap jihad menjadi fardhu ain, ia mestilah mendapat keizinan daripada ibubapa untuk keluar berjihad; tidak boleh keluar berjihad kalau ibubapa tidak memberi izin. Ini berdasarkan hadith yang sahih yang diriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar ra katanya: "Telah datang seorang lelaki kepada Nabi saw meminta izin untuk berjihad, maka Nabi saw bertanya: "Adakah kedua ibubapamu masih hidup?" Dia menjawab masih hidup, lalu Nabi saw bersabda: "Maka untuk kedua-dua ibubapamu hendaklah kamu berjihad." (Riwayat Muslim).

Di dalam riwayat yang lain lelaki tadi menjawab: "Ya, masih hidup dan aku meninggalkannya dalam keadaan kedua-duanya menangis. Nabi saw bersabda: "Pergi kamu, maka usahakan supaya kedua-duanya ketawa sebagaimana kamu telah membuat kedua-duanya menangis."

Dalam riwayat yang lain lagi.... Nabi saw bersabda: "Tidur kamu bersama kedua ibubapa kamu di atas tilamnya lalu kamu berusaha menjadikan kedua-duanya ketawa dan kamu pula bergurau senda dengan mereka lebih afdhal daripada kamu berjihad bersama aku."

9. Ulama' berselisih adakah apabila ibubapa musyrik diperlukan keizinan daripada kedua-duanya untuk berjihad (jihad kifayah)?

Imam Thauri berpendapat perlu, tetapi Imam Syafei berpendapat tidak perlu.

10. Sebagai penyempurna dalam 'birrul walidaini' ialah menghubungkan silaturrahim dengan mereka yang pernah bersahabat dengan ibubapa...


Semoga bermanfaat untuk direnung oleh anak-anak yang beribu dan berbapakan da'ie -para pendakwah- di jalan Allah swt. Jangan lupa hukum dalam melakukan dakwah dan jihad, nanti antum juga yang menyesal suatu hari nanti. Ingatlah kisah 'Alqamah yang tidak mampu mengucap syahadah dek kerana dia melebihkan si isterinya daripada ibu sendiri. Ibunya memendam rasa di hati, namun tidak diluahkan... Bagaimana ibu-ibu dan bapa-bapa yang kini berada dalam bahtera dakwah yang diketahui kebaikannya tiba-tiba anak sendiri yang mengherdik dan merendahkannya; bukankah itu menderhaka namanya??? Fikir-fikirkanlah di atas iman dan amal kata sahabat kita dari Jamaah Tabligh....

Sila rujuk - al-Jaami' Li Ahkaamil Quran oleh Imam al-Qurthubi, jilid ke5, m/s 155-157, cetakan ke6 tahun 1996 Darul Kutub al-Ilmiyah


-------------------------------------------------------------------------------------------
credit to Abuamru